Berpantun hanya bazirkan masa sidang DUN Sarawak – Pembangkang

Berpantun hanya bazirkan masa sidang DUN Sarawak – Pembangkang

WAKIL pembangkang DUN Sarawak menyifatkan ahli dewan yang mempamerkan kemahiran berpantun ketika sesi soal jawab hanya membazirkan masa persidangan.

David Wong Kee Woan (DAP-Pelawan) berkata, disebabkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berpantun, masa terbuang hingga banyak soalan tidak mendapat jawapan lisan daripada menteri.

Kee Woan berkata, ini kerana DUN Sarawak hanya memperuntukkan masa sejam sehari untuk sesi soal jawab.

“Hari ini, hanya tujuh soalan dijawab kerana semua orang datang dengan pantun dan menteri juga menjawab dengan pantun.

“Jika ingin berpantun, anda harus melakukannya dalam ucapan atau masa anda sendiri semasa perbahasan, tetapi bukan dalam waktu soal jawab yang hanya sekitar sejam,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Kee Woan berkata, lebih 200 soalan disediakan pada setiap persidangan, namun kurang 50 soalan yang dapat dijawab.

Justeru katanya, Speaker DUN, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar harus membuat keputusan berhubung perkara itu dan memberi lebih banyak masa untuk menteri menjawab soalan ahli dewan.

Sementara itu, Irene Mary Chang (DAP-Bukit Assek) berkata, agak menyedihkan apabila ahli dewan diizinkan lebih banyak masa untuk berpantun, namun ada ahli tidak dilayan ketika mengajukan soalan tambahan.

“Semua ahli dewan datang untuk membaca pantun dan ini membuang masa. Soalan saya tidak dijawab dengan sewajarnya.

“Soalan saya amat penting kerana ia membabitkan kepentingan rakyat, tetapi hanya satu daripada dua soalan saya dijawab kerana masa dibazirkan ahli dewan yang mahu berpantun,” katanya. -Malaysiapost