Isu air: Exco persoal tindakan IWK tidak lapor kepada kerajaan Selangor

Isu air: Exco persoal tindakan IWK tidak lapor kepada kerajaan Selangor

EXCO kerajaan negeri Selangor Hee Loy Sian tidak gembira dengan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd yang gagal memaklumkan kerajaan negeri berhubung tindakan sebuah premis di Taman Velox di Rawang disyaki membuang sisa kimia secara haram melalui tandas satu minggu lalu.

Kejadian itu kemudian menyebabkan gangguan bekalan air membabitkan lebih satu juta pengguna di Lembah Klang.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam hari ini, Hee meluahkan kekecewaannya, dengan mengatakan bahawa tindakan sewajarnya dapat diambil sekiranya kerajaan negeri diberitahu segera akan hal itu.

Katanya, IWK telah mengesyaki pengendali premis membuang sisa berjadual, yang menyebabkan kilang IWK menerima bahan kemerahan sehingga memaksa mereka menghentikan operasinya pada 4 November.

Jelasnya IWK hanya memberitahu perkara itu kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dan bukannya kerajaan negeri.

Kejadian itu kemudian menyebabkan pencemaran di Sungai Selangor dan mengakibatkan penutupan empat loji rawatan air di Kuala Selangor semalam.

“IWK juga membuat laporan polis mengenai masalah itu sementara Span memutuskan untuk membuang sisa berkenaan secara manual ke lokasi lain, menggunakan lori, dan menutup kilang.

“Luas dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) tidak diberitahu mengenai hal ini dan jika kami tahu, kami mungkin akan mengambil tindakan sewajarnya lebih cepat,” kata Hee seperti dipetik Bernama.

Hee menjelaskan bahawa insiden itu adalah yang keempat oleh IWK tahun ini dan mereka seharusnya lebih bertanggungjawab dalam menguruskan loji rawatan kumbahan mereka.

“Ini adalah kali keempat ia terjadi … dua kali di Bukit Mahkota, Semenyih, sekali di Batang Kali, Hulu Selangor, dan sekarang di Rawang,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu dan akan membawa siapa saja yang terlibat dalam pencemaran air di negeri ini ke muka pengadilan sesuai dengan Enakmen Luas 1999.

Semalam, Air Selangor mengumumkan bahawa operasi di loji rawatan air Fasa 1, 2 dan 3 Rantau Panjang dan Sungai Selangor terpaksa ditangguhkan kerana pencemaran sumber air mentah.

Gangguan itu telah menjejaskan 1,139,008 premis di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Gombak dan Kuala Langat. – Malaysiapost