Masalah air: PKR suarakan kebimbangan rakyat pada MB Selangor

Masalah air: PKR suarakan kebimbangan rakyat pada MB Selangor

BIRO Politik PKR telah menyampaikan rungutan dan kegusaran warga Lembah Klang kepada kerajaan negeri Selangor berhubung masalah air di negeri itu.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata Mesyuarat Biro Politik PKR hari ini telah menerima laporan penuh berkenaan kejadian pencemaran sungai dan gangguan bekalan air akibat penutupan Loji Rawatan Air Rantau Panjang, Fasa 1, Fasa 2, dan Fasa 3.

“Biro politik PKR telah menyampaikan beberapa pandangan termasuk rungutan dan kegusaran warga Lembah Klang yang terkesan akibat isu gangguan bekalan air, serta memberi beberapa cadangan untuk pertimbangan YAB Datuk Menteri Besar Selangor.

“YAB Datuk Menteri Besar Selangor telah memaklumkan bahawa beliau dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan mengadakan mesyuarat khas berkenaan isu gangguan bekalan air dan akan mempertimbang tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam pencemaran sumber air mentah di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, petang tadi.

Semalam, media melaporkan Kerajaan Selangor tidak menolak kemungkinan insiden pencemaran bau di Sungai Selangor, hingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas angkara perbuatan sabotaj.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian, berkata hasil pemeriksaan awal, pihaknya mendapati pencemaran itu berpunca dari loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK).

Katanya, lokasi yang dikesan adalah di Taman Velox, Rawang yang mana pihaknya mengesan terdapat bahan seakan minyak di dalam lurang IWK di kawasan itu.- Malaysiapost