Pencemaran air: Polis tahan 4 individu termasuk seorang wanita

POLIS menahan empat individu termasuk seorang wanita di tiga lokasi susulan insiden pencemaran bau di Sungai Selangor semalam. 

Suspek berusia 33 hingga 43 tahun itu ditahan di Gombak, Damansara dan Kelana Jaya antara tengah malam tadi hingga awal pagi ini. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata siasatan mendapati wanita itu adalah penama berdaftar dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia. 

Katanya, dia menyewa premis yang disyaki melakukan aktiviti membuang sisa kimia ke dalam lubang kumbahan. 

“Dua suspek lain termasuk seorang warga Bangladesh didapati menjadikan premis itu sebagai tempat menyimpan bahan kimia,” katanya menerusi kenyataan. 

Fadzil berkata, semua suspek akan direman pagi ini di Mahkamah Selayang bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan. 

Terdahulu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan pihak berkuasa telah mengesan premis yang disyaki melakukan pembuangan efluen secara tidak sah ke lurang kumbahan yang seterusnya mencemari Loji Rawatan Kumbahan IWK Taman Volex, Rawang, lewat malam tadi. 

Semalam, empat Loji Rawatan Air (LRA) iaitu Sungai Selangor Fasa 1,2,3 serta Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas selepas pencemaran bau seakan-akan pelarut dikesan di Sungai Selangor. 

Susulan itu, 1,139,008 akaun merangkumi 1,279 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat, akan mengalami gangguan bekalan air mulai jam 6 petang semalam. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights