Pengeluaran KWSP: Saya bukan nak jadi ‘hero’ – Najib

Pengeluaran KWSP: Saya bukan nak jadi ‘hero’ – Najib

DATUK Seri Najib Razak menafikan cadangan pengeluaran Akaun 1 KWSP
dan lanjutan moratorium pinjaman adalah sekadar ‘permainan populis’ untuk menampakkan dirinya sebagai hero.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, cadangan itu bukan bersifat populis sebaliknya ia adalah strategi ekonomi.

“Ok. Kepada mereka, saya ada satu soalan paling simple (mudah).

“Jika bajet 2019 sebanyak RM314.5 bilion tidak dapat selamatkan ekonomi pada tahun tiada krisis Covid, bagaimana pula bajet 2021 sebanyak RM322.5 bilion (RM8 bilion atau cuma 2.5% lebih tinggi) mampu menyelamatkan negara semasa krisis Covid melanda seluruh negara dan dunia?, ” katanya di Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu, berkata cadangan pengeluaran KWSP RM10, 000 dan lanjutan moratorium adalah langkah untuk menambah dana ke dalam kitaran ekonomi negara.

“Ia demi merancakkan ekonomi kita tanpa memberi impak kepada saiz bajet dan defisit negara disamping memberi sedikit ruang kelegaan kepada mereka yang paling terdesak.

“Ini bukan populis. Ini strategi ekonomi,” katanya.

Sebelum ini, Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) membuat pendirian bahawa sokongan mereka ke atas Belanjawan 2021 adalah secara bersyarat.

Najib yang juga Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Backbenchers BN, berkata, syarat itu adalah kerajaan perlu meluluskan pengeluaran KWSP sebanyak RM10,000 secara one-off dan laksana lanjutan moratorium hingga Jun 2021.

“Saya hendak kata bajet ini dibuat dalam masa yang luar biasa. Dan kalau hendak pinda, ia wajar dilakukan kerana dalam keadaan luar biasa, ” katanya

Sementara itu, dalam satu hantaran berasingan, Najib berkata ada pihak mendakwa cadangan pengeluaran RM10,000 ini tidak praktikal, sukar atau mustahil untuk dilaksanakan.

“Semalam, saya dah beritahu Dewan Rakyat bagaimana untuk melakukannya tanpa memberi impak kepada bajet/defisit kerajaan atau kepada KWSP.

“Jika 4 juta pencarum (seperti jumlah yang pohon skim i-Lestari) mengeluarkan jumlah maksimum RM10k dari akaun 1, ianya adalah RM40 bilion.

“Hampir separuh pegangan aset KWSP sebanyak RM940 bilion atau sekitar RM470 bilion adalah dalam bentuk bon kerajaan dan bon swasta,” katanya.

Beliau berkata, bon adalah kelas aset kewangan yang mudah dicairkan sebab ada nilai dan ada pasarannya. -Malaysiapost