Rayer diusir kerana pertahankan Dr Noor Hisham

Rayer diusir kerana pertahankan Dr Noor Hisham

[Parlimen] SUASANA Dewan Rakyat gamat apabila Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bertegang urat dengan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, hari ini.

Pertengkaran kedua-dua Ahli Parlimen itu mengakibatkan Rayer diusir keluar dewan selepas diberi amaran oleh Timbalan Yang di-Pertua, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Suasana kecoh itu berlaku apabila King Sing mengeluarkan kenyataan menyifatkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ‘takut mati’ kerana tidak turun sendiri ke Sabah untuk melakukan pengawasan wabak Covid-19 di negeri itu.

“DG (Dr Noor Hisham) takut mati sebab dia tak turun di Sabah, tak lockdown awal-awal di penjara,” katanya.

Mendengar kenyataan itu, Rayer bangun meminta King Sing menarik balik kenyataan tersebut namun Duta Khas Perdana Menteri ke China itu enggan.

Rayer terus mempertahankan Dr Noor Hisham apabila menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Bintulu itu kurang ajar.

“Saya tidak benarkan dia (King Sing) hentam DG (Dr Noor Hisham), dia adalah petugas barisan hadapan, jangan kurang ajar, Bintulu. Jangan hina pegawai kerajaan,” katanya.

Suasana bertambah panas apabila Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) menjerit dan meminta Rayer duduk.

Azalina kemudian meminta Rayer duduk dan memberi amaran akan mengusirnya keluar dewan jika tidak berbuat demikian.

Bagaimanapun, Rayer enggan mengikuti arahan Azalina sebelum diarah keluar dewan.

Seterusnya Azalina memberi dua pilihan kepada King Sing sama ada menarik balik kenyataan atau menjelaskan perkara yang disebutkannya.

Bagaimanapun, King Sing tetap enggan menarik balik kenyataannya.

“Ini suara petugas barisan hadapan, jadi saya tidak mahu tarik balik. Selalu (Dr Noor Hisham) hantar orang. Dia kena pergi jugalah,” katanya.

Keadaan kembali kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen bangun dan meminta Azalina menegur King Sing susulan kenyataannya.

Namun, Azalina meminta Ahli Parlimen bertenang dan King Sing meneruskan perbahasannya semula tanpa menarik balik kenyataan terhadap Dr Noor Hisham. – Malaysiapost