Tiada barang peribadi Nur Surya dalam sungai

Tiada barang peribadi Nur Surya dalam sungai

POLIS tidak menemukan sebarang barangan peribadi milik mangsa bunuh, Siti Nur Surya Ismail, 19, yang dikatakan dibuang di Sungai Telemong.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, operasi mengesan barangan mangsa pembunuhan tragis itu dilakukan Ahad lalu menggunakan Khidmat Unit Selam Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga dengan kekuatan sembilan anggota.

“Beg yang mengandungi dokumen peribadi mangsa seperti kad pengenalan dipercayai dibuang oleh suspek berusia 19 tahun itu pada hari yang sama dia membuang pisau yang digunakan untuk membunuh mangsa di Lebuh Raya Telemong.

“Sebelum ini polis melakukan pencarian di sepanjang tepi sungai tersebut dan pada Ahad (8 Nov) lalu kami menggunakan khidmat unit selam untuk membantu mencari dalam sungai dan dasarnya.

“Bagaimanapun, pencarian selama dua jam di sungai itu tidak menemukan sebarang barang kes,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Mohd Adli berkata, suspek yang merupakan pelajar tingkatan enam itu turut dibawa dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu ke lokasi ketika pencarian dilakukan.

Beliau mengakui penyelam berhadapan kesukaran mencari barangan tersebut susulan keadaan air sungai yang deras disebabkan hujan lebat sejak beberapa hari lalu dan berkemungkinan barangan itu telah dihanyutkan ke tempat lain.

Sebelum ini, suspek yang merupakan rakan karib Siti Nur Surya disambung reman tujuh hari sehingga 16 November ini bagi melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 1 November lalu, Siti Nur Surya yang menjaga ibunya terlantar akibat sakit kanser otak tahap tiga, ditemukan dalam keadaan tertiarap di ruang tamu rumahnya di Kampung Lubuk Batu, Telemong.

Mayat mangsa ditemukan adik perempuannya yang berusia 15 tahun semasa pulang dari sekolah kira-kira 2.30 petang. – Malaysiapost