Tragedi tanah runtuh: Dua mangsa rentas negeri atas urusan kerja

Tragedi tanah runtuh: Dua mangsa rentas negeri atas urusan kerja

PASANGAN yang maut dalam kejadian tanah runtuh di The Banjaran Hotsprings Retreat di Tambun semalam, datang ke Ipoh atas urusan kerja.

Difahamkan, kedua-kedua mangsa baharu mendaftar masuk ke resort berkenaan sehari sebelum kejadian berlaku.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kedua-dua mangsa yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di resort terbabit difahamkan datang ke daerah itu kerana mempunyai urusan kerja.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut sama ada mangsa datang bersama atau berasingan ke sini.

“Kedua-dua mangsa berasal dari Kuala Lumpur di mana lelaki itu bekerja di syarikat minyak dan gas manakala wanita tersebut merupakan ejen hartanah. Difahamkan mereka datang ke Ipoh atas urusan kerja.

“Kita perlu faham, di bawah Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), rentas negeri untuk urusan pekerjaan dibenarkan, ada surat majikan,” katanya ketika ditemui media di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini.

Menurut A Asmadi, bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa mendapati punca kematian akibat kecederaan ditimpa dinding dan tembok ekoran runtuhan tanah.

Tambahnya, kedua-dua mangsa telah dituntut oleh ahli keluarga masing-masing selepas proses bedah siasat selesai dijalankan hari ini.

“Pengecaman ke atas mayat mangsa lelaki dilakukan isterinya manakala mangsa wanita pula telah dicam oleh adik perempuannya,” ujarnya.

Semalam, Malaysiapost melaporkan mangsa tanah runtuh di The Banjaran Hotsprings Retreat, Tambun di Ipoh, ditemui maut di bilik jakuzi resort itu.

Mangsa yang maut adalah Ooi Chee Wei, 39, and Lee Tze Jun, 32.

Kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan bertindih kira-kira jam 9.15 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat di bahagian jakuzi dalam bilik tersebut selepas operasi dijalankan hampir 10 jam. -Malaysiapost