Wilayah Persekutuan ‘Wilayah Bebas Berniaga’ mulai 15 November

WILAYAH Persekutuan akan menjadi ‘Wilayah Bebas Berniaga’ selama enam bulan bermula 15 November ini, kata Menterinya, Tan Sri Annuar Musa.

Inisiatif itu, katanya, bertujuan meringankan beban warga Malaysia di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menerusi inisiatif itu, penduduk ketiga-tiga wilayah dibenarkan berniaga apa saja jenis perniagaan termasuk makanan dan pakaian sehingga 15 April 2021.

“Mereka boleh berniaga dalam tempoh enam bulan ini dan urusan permohonan lesen akan dipermudahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Wilayah Persekutuan,” katanya semalam.

Terdahulu, beliau menyampaikan gerai penjaja bergerak sumbangan Yayasan Wilayah Persekutuan di Jalan Desa Utama di Kuala Lumpur.

Annuar berkata, PBT akan mengeluarkan garis panduan dalam masa terdekat mengenai tatacara perlu dipatuhi orang ramai yang mahu berniaga.

Antara syaratnya ialah lokasi tidak ganggu lalu lintas, menjaga kebersihan makanan dan persekitaran tempat perniagaan.

“Mereka yang mahu berniaga boleh memohon lesen sementara daripada PBT masing-masing dan memulakan perniagaan pada 15 November ini,” katanya yang sedia melanjutkan inisiatif itu jika mendapat sambutan menggalakkan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights