Ahli Parlimen Bintulu perlu mohon maaf – Cuepacs

Ahli Parlimen Bintulu perlu mohon maaf – Cuepacs

Nurul Huda Abhar

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menganggap kenyataan ‘takut mati’ oleh Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing sangat keterlaluan.

Ia juga merendahkan pengorbanan penjawat awam yang bertungkus-lumus dalam usaha menyekat penularan virus Covid-19.

Presidennya, Adnan Mat berkata, lebih memburukkan keadaan apabila kenyataan itu dikeluarkan di dalam Dewan Rakyat yang mulia.

Menurutnya, kenyataan itu tidak sepatutnya dibuat oleh pemimpin politik dan sewajarnya pihak berkenaan menyelidik terlebih dahulu maklumat sebenar sebelum mengeluarkan komen keras kepada penjawat awam.

“Sebagai wakil rakyat, Yang Berhormat (YB) Bintulu sewajarnya menggunakan saluran betul dalam menyuarakan pendapat peribadi ataupun aduan yang diterima beliau dan bukannya membuat serangan secara terbuka di dalam Dewan Rakyat.

“Cuepacs percaya YB Bintulu mempunyai akses untuk bertemu Menteri Kesihatan atau Ketua Pengarah Kesihatan jika mahu memaklumkan pendapat beliau mengenai penambahbaikan dalam pengurusan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata, adalah tidak adil bagi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah diserang melalui platform yang beliau tidak boleh memberi penjelasan.

Oleh itu, katanya, King Sing wajar membuat permohonan maaf sebagai menghormati peranan semua petugas barisan hadapan dan Ketua Pengarah Kesihatan yang bertungkus-lumus memerangi wabak Covid-19.

Semalam, Dewan Rakyat kecoh selepas King Sing membangkit isu ‘takut mati’ kepada Dr Noor Hisham kerana didakwa tidak turun ke Sabah ketika pendemik Covid-19 melanda.

Menurut King Sing, Ketua Pengarah Kesihatan sebaliknya hanya membuat sidang akhbar harian untuk mendapatkan publisiti. – Malaysiapost