Awie bakal timang cahaya mata keenam

Awie bakal timang cahaya mata keenam

SELEPAS empat tahun mendirikan rumah tangga, vokalis Wings Datuk Awie bakal menimang cahaya mata keenam tahun depan.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 52, mengesahkan berita gembira itu menerusi video di Instagram miliknya, hari ini.

Menerusi video itu Awie menemani isterinya membuat pemeriksaan rutin ibu hamil di sebuah hospital swasta di Ampang.

“Saya di sini bersama isteri untuk periksa kandungan tujuh bulan. Sudah lima anak saya dilahirkan di sini dengan satu doktor yang sama,” katanya.

Awie dan Sharifah Ladyana mendirikan rumah tangga pada 7 Oktober 2016 di Songkhla, Thailand.

Awie pernah berkahwin dengan penyanyi dan pelakon Arni Nazira pada 1998 dan dikurnia dua anak iaitu Puteri Aleeya Antasha, 19, dan Puteri Aleefa Antasha, 17.

Selepas perkahwinan mereka gagal, Awie bernikah dengan Rozana Misbun, adik kepada aktres Haliza Misbun pada 2006.

Awie dan Rozana memiliki tiga anak hasil perkahwinan mereka, iaitu Putra Ahmad Merrah,11, Putra Ahmad Rezzki, 10; dan Puteri Qasseh Antasha, 8. – Malaysiapost