Beraninya pemimpin Amanah canggah titah Agong

Beraninya pemimpin Amanah canggah titah Agong

Dr Kamarul Zaman Yusoff

SETELAH Yang di-Pertuan Agong membuat titah terbuka supaya Ahli-Ahli Parlimen menyokong Bajet 2021 kelihatan seperti tidak ada pihak lain yang berani membuat seruan atau menyatakan pendirian bahawa bajet ini perlu ditolak sebagai menghormati titah tersebut.

Paling tinggi yang Ahli-Ahli Parlimen berani lakukan pun ialah menyebut bahawa Bajet 2021 hanya akan disokong jika tuntutan mereka di dalam isu seperti pengeluaran lebih besar wang KWSP dan pelanjutan moratorium menyeluruh dimasukkan ke dalam bajet ini.

Tetapi tidak begitu halnya dengan Adun Meru dari Amanah, Mohd Fakhrulrazi Mokhtar, yang secara terbuka mendedahkan kunjungan beliau ke atas Ahli Parlimen tertentu bagi mendesak Ahli Parlimen itu supaya menolak Bajet 2021 yang didakwa “bajet politik dan pilihan raya”.

Selaku seorang pemimpin Melayu beragama Islam yang datang pula dari sebuah parti politik yang meletakkan Islam progresif sebagai panduan perjuangannya tindakan Adun Meru menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong ini tentunya mengejutkan.

Kalau orang lain pastilah akan cuba disembunyikan aktiviti sebegini bagi memastikan imej parti politik yang mereka wakili tidak terjejas, tetapi entah apa perkiraan politik beliau hingga mendorong beliau berani mendedahkannya kepada umum pula.

Mungkin Adun ini nak tunjuk kepada seluruh golongan masyarakat bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang hebat kerana berani menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong tatkala pemimpin-pemimpin lain kelihatan teragak-agak untuk berbuat demikian kot? – Malaysiapost

Penulis ialah Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa, UUM)
(Artikel ini disiarkan tanpa suntingan dan ia tidak semestinya menggambarkan pendirian -Malaysiapost)