Covid-19: Kes meningkat di 4 negeri cetus kebimbangan

Covid-19: Kes meningkat di 4 negeri cetus kebimbangan

Fitri Nizam

PENINGKATAN kes di Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan mutakhir ini mengundang kebimbangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia berikutan negeri terbabit mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan pergerakan penduduk ke satu kawasan ke kawasan lain.

Katanya, jika digabungkan jumlah kes di keempat-empat negeri ini jumlahnya adalah 453 kes iaitu lebih tinggi berbanding kes harian yang dicatatkan di Sabah, hari ini.

“Inilah kebimbangan KKM di Lembah Klang dan Negeri Sembilan iaitu bagaimana kita dapat menjalankan aktiviti kesihatan awam kerana kepadatan penduduk yang tinggi dengan pergerakan ke satu kawasan ke kawasan lain.

“Kita juga melihat kepada aktiviti melintas sempadan iaitu sama ada merentas daerah atau negeri. Inilah cabaran untuk KKM mengambil tindakan proaktif di kawasan-kawasan tersebut,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 14 Oktober lalu di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya adalah satu langkah proaktif kerajaan membendung wabak ini daripada terus menular.

“Jika tindakan lambat diambil mungkin keadaan lebih buruk dicatatkan pada hari ini,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kes di Sabah sejak empat hari lalu didapati lebih stabil berbanding beberapa minggu lalu.

“Ada daerah di Sabah yang sudah mula bertukar hijau, jadi kita harap dalam tempoh seminggu dua ini kita dapat kawal keadaan di Sabah,” katanya. – Malaysiapost