Guna budi bicara tangguh ABPBH – IRAMA

Guna budi bicara tangguh ABPBH – IRAMA

KONSORTIUM Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) meminta penganjur Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang dijadual berlangsung esok, menggunakan budi bicara menangguhkan program itu ke suatu waktu yang sesuai.

Presiden IRAMA, Ayob Abd Majid berkata ia sejajar dengan pelbagai acara sama ada keagamaan mahupun majlis sosial lain yang banyak telah ditangguhkan atau tidak dibenarkan berlangsung.

Bagaimanapun, katanya, IRAMA amat memahami acara penganugerahan seperti itu adalah suatu proses yang panjang dan bukan boleh dizahirkan dalam jangkamasa singkat, dan memerlukan barisan kru yang mula bekerja tiga bulan awal.

Beliau berkata, proses itu termasuklah mendapatkan penaja yang telah mengeluarkan perbelanjaan dari peringkat awal untuk bersama-sama menjayakannya.

“Ini semua berkaitan kontrak dan jika acara ini perlu ditangguh atau dibatalkan, ia memerlukan masa dan kemungkinan penganjur terpaksa membayar semula apabila mungkin ada penaja menarik diri atas kegagalan meneruskan acara ini.

“Namun begitu jika penaja boleh memberi kerjsama dan memahami isu ini dari sudut menghormati kepentingan yang melebihi dari hasrat mereka, itu adalah terbaik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ayob berkata, adalah lebih malang kalangan artis dan penggiat seni ditohmah sedangkan mereka hanya dijemput dan dikatakan tidak dibayar untuk bersama menjayakan acara itu.

Beliau menegaskan tidak semua artis yang terlibat kehidupan mereka hanya diisi untuk berhibur semata-mata tanpa memikirkan soal agama.

“Tohmahan ini tidak berasas sama sekali dan bersifat fitnah akhir zaman dari kalangan golongan yang sudah yakin mereka itu adalah ahli syurga!

“Justeru IRAMA berharap sekiranya acara ini tetap juga ingin dijalankan, ubahlah sedikit cara sambutan acara ini agar lebih patuh syariah dan “Muslim friendly”.

“Ramai orang tidak kira dari golongan dan sektor pekerjaan atau perniagaan manapun sekarang sedang menjalani risiko ketidaktentuan akibat dari pandemik Covid-19 ini khususnya dari sudut ekonomi yang akan membawa kepada aspek sosial kehidupan,” katanya.

Terdahulu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) hari ini menyerahkan surat rasmi kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menggesa agar hiburan yang tidak mematuhi syariah dibatalkan.

Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan berkata ia termasuk program seperinABPBH, terutama di saat umat Islam berdepan dengan pandemik Covid-19. – Malaysiapost