Jamal Abdillah pilih tarikh 11/11 timang cahaya mata keempat

Jamal Abdillah pilih tarikh 11/11 timang cahaya mata keempat

LEGENDA pop tersohor, Datuk Jamal Abdillah berkongsi berita gembira apabila dikurniakan cahaya mata pada tarikh istimewa, iaitu 11/11/2020 semalam.

Bayi yang selamat dilahirkan isterinya, Datin Zai Izzati sekitar jam 4 petang itu adalah anak keempat bagi seniman yang berusia 61 tahun tersebut.

Berkongsi berita gembira itu, Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Ali berkata, tiada apa yang mampu dizahirkan selain mengucapkan rasa syukur pada Allah kerana diberikan rezeki cahaya mata.

“Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika ini. Menerima anak pada usia sebegini adalah rahmat yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Saya dan isteri menerima kelahiran ini dengan penuh rasa syukur,” kata Jamal seperti dilaporkan Awani, semalam.

Kata pelantun lagu ‘Seroja’ itu, kehadiran permata hati diberi nama El Issac Yamani itu tentu sekali pelengkap kebahagiaan beliau dan isteri serta tiga anaknya yang lain.

El Issac Yamani yang dilahirkan sempurna dan sihat itu juga sudah mempunyai panggilan timangan iaitu Zack iaitu nama karakter Jamal dalam filem Azura yang pernah memasyhurkan namanya sekitar 1980-an.

Berdasarkan perkiraan tarikh yang dibuat doktor sebelum ini, Jamal berkata, isterinya pada awalnya dijangka melahirkan anak mereka pada 17 November ini.

Bagaimanapun, beliau dan Zai Izzati sepakat untuk melakukan pembedahan kelahiran pada 11 November (hari ini) kerana tarikhnya sangat unik dan amat istimewa.

“Kami ambil tarikh 11.11.2020 kerana mudah untuk ingat tarikh lahir Zack nanti,” ujarnya lagi

Selain Zack yang dilahirkan di sebuah hospital swasta di Ipoh, Perak pada tarikh istimewa hari ini, anak ketiga Jamal iaitu Nur Azura Yamani juga dilahirkan pada hari yang mudah diingati iaitu pada 10.10.2019. – Malaysiapost