Jika boleh bercakap di Parlimen, tentu boleh juga di mahkamah – Tun M

Jika boleh bercakap di Parlimen, tentu boleh juga di mahkamah – Tun M

Muhammad Mustakim Ramli

[PARLIMEN] TUN Dr Mahathir Mohamad ‘pelik’ dengan sitausi di mahkamah apabila perbicaraan individu tertentu ditangguhkan kerana Covid-19.

Bekas Perdana Menteri (Bebas-Langkawi) berkata, yang menghairankan beliau apabila individu berkenaan dibenarkan pula untuk berucap di Dewan Rakyat.

“Jika boleh di Parlimen sudah tentu boleh juga di mahkamah. Kurangkanlah pemerhati dan media… pastikan jarak satu meter antara mereka yang perlu ada semasa perbicaraan.

“Jika nak nanti Covid-19 tamat maka bertahun-tahun diperlukan. Bebaslah banduan,” katanya semasa perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) ketika mencelah dan bertanya sama ada ia ditujukan kepada Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) atau Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson), Dr Mahathir berkata soalan itu tidak perlu dijawab.

Isnin lalu, mahkamah membenarkan perbicaraan kes rasuah Najib berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadualkan kelmarin, ditangguh sekali lagi berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu pemberita mahkamah menetapkan 14 hingga 17 Disember untuk menyambung semula perbicaraan itu yang sepatutnya berlangsung hingga 12 November di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah. – Malaysiapost