Jurulatih KV Kortrijk akui Luqman berpotensi besar

Jurulatih KV Kortrijk akui Luqman berpotensi besar

PENYERANG muda, Luqman Hakim Shamsudin berpotensi besar sekiranya terus digilap, kata Jurulatih KV Kortrijk, Yves Vanderhaeghe mengenai pandangan pertamanya terhadap pemain berasal dari Kelantan itu.

Menerusi dokumentari #TheJourneyOfLuqie disiarkan laman rasmi pasukan itu, Vanderhaeghe menjelaskan dia tertarik dengan Luqman yang sentiasa terbuka dan bersemangat untuk meningkatkan dirinya walaupun baru berusia 18 tahun.

Katanya, KV Kortrijk dalam proses untuk membentuk pemain itu dan membantu dia meningkatkan ‘condition’ asasnya dalam perjalanan menjadi pemain yang lebih baik pada masa akan datang.

“Kita menjalankan ujian fizikal ke atasnya sebelum ini kerana kita mahu mengetahui sejauh mana catatannya.

“Dia jelas tidak berada dalam keadaan yang terbaik pada masa itu, jadi sebab itulah dia diberikan program latihan individu.

“Dia masih perlukan masa untuk menjadi pemain yang baik buat kita. Ketika ini, dia sedang menjalani latihan demi latihan kerana kita mahu keadaan asasnya dapat dicapai pada tahap sepatutnya.

“Kita jangka dia akan terus berkembang dan akan kerap berlatih bersama pasukan utama. Saya sangat yakin menjaringkan gol adalah salah satu bakat terbesarnya selain kemampuan penyudah di hadapan gol,” katanya.

Terdahulu, program latihan yang diberikan pasukan itu tampak mula membuahkan hasil selepas pemain itu sudah memperlihatkan perubahan fizikalnya.

Menerusi kemaskini gambar terbaharunya di Instagramnya, pemain itu tampak semakin berotot dan ‘sado’.

Sementara itu, rakan sepasukan Luqman, Loic Ritiere mengakui produk kelahiran Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu memiliki ‘senjata’ tersendiri yang dilihat mampu membantunya ketika beraksi di atas padang.

“Dia sangat pantas dengan bola di kaki selain ada daya pecutan yang bagus dan memiliki penyudah yang kemas.

“Dia juga lincah apabila melihat bagaimana untuk membuat hantaran kepada rakan sepasukan,” kata pertahanan kiri itu. – Malaysiapost