Kedah wujudkan Kawasan Bebas Berniaga

Kedah wujudkan Kawasan Bebas Berniaga

Muhammad Mustakim Ramli

KERAJAAN Kedah mewujudkan Kawasan Bebas Berniaga kepada peniaga, penjaja statik atau perniagaan kecil-kecilan di mana-mana lokasi yang sesuai di dalam kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ia meliputi Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan di bawah Majlis Perbandaran iaitu Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), Majlis Perbandaran Langkawi (MPL), Majlis Perbandaran Kulim (MPK) dan Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP), berkuat kuasa mulai 15 November ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Noor berkata, individu yang ingin berniaga boleh merujuk dan mendapatkan kelulusan PBT yang terlibat berkenaan lokasi berniaga yang dipilih.

“Peniaga dan penjaja dikehendaki memohon premit perniagaan sementara secara bulanan iaitu tidak secara kekal dan akan dikenakan caj RM10 sahaja sebulan dan boleh membuat pembayaran di PBT yang terlibat.

“Sehubungan itu, peniaga perlu mematuhi syarat ditetapkan PBT seperti termaktub dalam Undang-Undang Kecil Penjaja dan Gerai PBT masing-masing,” katanya menerusi Facebook.

Sanusi berkata, peniaga hendaklah memastikan barang perniagaan tidak ditinggalkan di kawasan tapak berniaga, tempat yang dipilih tidak mengancam keselamatan awam, tidak menggangu lalu lintas dan peniaga perlu bertanggungjawab memastikan kebersihan di tapak perniagaan.

“Saya mohon Kerjasama Datuk Bandar dan Yang Dipertua PBT yang terbabit supaya membuat pemantauan secara berkala dan pemeriksaan bagi memastikan keadaan sekeliling selamat dan bersih.

“Jika terdapat aduan dari masyarakat sekeliling berkenaan tapak perniagaan tersebut, menimbulkan kacau ganggu, mengabaikan kebersihan atau keselamatan, pihak PBT akan mengambil tindakan yang selari dengan peraturan yang berkuatkuasa,” katanya. – Malaysiapost