Kertas siasatan Young Syefura selesai

Kertas siasatan Young Syefura selesai

KERTAS siasatan kes Ahli Dewan Undangan (Adun), Ketari, Young Syefura Othman yang didakwa merentas negeri untuk menyambut hari lahirnya, diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Selangor, hari ini.

Tindakan Adun DAP itu didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan di Selangor sejak bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata Adun dari Pahang itu sudah dipanggil dan keterangannya direkodkan Selasa lalu.

Menurut beliau, tindakan selanjutnya akan diambil berdasarkan arahan daripada Pengarah Pendakwaan.

Katanya, berdasarkan gambar yang tular, terdapat lima individu atau ada individu keenam yang menjadi saksi dan mengambil gambar berkenaan.

“Kita serah kepada Pengarah Pendakwaan dan sekiranya diarah meneruskan siasatan lanjut kita akan siasat,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Gambar perkelahan Young Syefura dan lima rakannya di Sepang tular di media sosial sehingga mengundang kecaman kerana tidak mematuhi SOP PKPB.

Susulan itu, Young Syefura dilaporkan berkata, beliau menyerahkan kes itu kepada polis untuk tindakan selanjutnya serta memohon maaf jika mengingkari SOP PKPB.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). – Malaysiapost