KKM laksana progam atasi stigma pesakit Covid-19

KKM laksana progam atasi stigma pesakit Covid-19

[PARLIMEN] PROGRAM Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengatasi stigma pesakit atau bekas pesakit Covid-19, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata langkah itu dijalankan sepanjang tempoh wabak Covid-19 bagi memastikan stigma itu tidak menjadi fenomena yang boleh menggugat kesejahteraan emosi mereka.

“Usaha yang dilaksanakan bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk menghindari stigma terhadap pesakit dan bekas pesakit Covid-19.

“Antara usaha yang telah dijalankan KKM adalah memberi penerangan di televisyen, radio serta video mengenai maklumat penyebaran Covid-19 serta risiko jangkitan bagi pesakit yang telah sembuh.

“Ini bagi memberi kefahaman bahawa risiko jangkitan yang rendah bagi mengelak stigma terhadap pesakit dan keluarga,” katanya menjawab soalan Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Adham menjelaskan edaran infografik secara maya juga dilakukan di portal kementerian serta di Facebook agar masyarakat sedar bahawa stigma boleh memudaratkan emosi seseorang berkaitan.

Katanya, selain itu kementerian melaksanakan Perkhidmatan Bantuan Talian Sokongan Psikososial dengan kerjasama agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“NGO dan agensi kerajaan ini menjadi ejen memberi penerangan dan pendidikan kepada pemanggil yang rata-ratanya memerlukan sokongan emosi akibat kebimbangan jangkitan Covid-19 melalui ahli keluarga atau individu rapat yang disahkan positif,” katanya.

Selain itu, katanya, kementerian memberi sokongan emosi pesakit dan keluarga melalui semua fasiliti kesihatan yang merawat pesakit Covid-19 dengan mengadakan sesi kaunseling, intervensi psikologi serta pelbagai terapi ringkas yang lain seperti terapi seni, relaksasi pernafasan dan saringan kesihatan mental.

“Bantuan awal psikologi juga diberi kepada individu berkaitan jika keadaan emosi mereka tidak stabil atau dalam keadaan krisis emosi,” katanya. – Malaysiapost