KKM rujuk Veterinar laporan virus h5n8

KKM rujuk Veterinar laporan virus h5n8

Fitri Nizam

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk melihat perkembangan virus h5n8 yang dilaporkan dikesan di Korea Selatan baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata setakat ini KKM mendapati virus h5n8 hanya didapati pada burung sahaja.

Bagaimanapun, katanya, persoalannya adalah sama ada virus itu menjangkiti manusia atau tidak, itu yang menjadi kebimbangan pihaknya.

“Tetapi kita akan rujuk kepada JPV untuk melihat perkembangan virus tersebut di haiwan.

“Jika ada kes jangkitan kepada manusia, barulah KKM akan melihat risiko dan sebagainya. Setakat ini di Malaysia tiada lagi jangkitan penyakit daripada burung kepada manusia,” katanya pada sidang media hari ini.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata, KKM akan memantau bersama JPV berhubung perkembangan semasa virus berkenaan.

Korea Selatan baru-baru ini dilaporkan mengesan penularan virus selsema burung atau h5n8 dan mengeluarkan amaran berhubung penularan wabak berkenaan.

Virus sama turut dilaporkan dikesan di Eropah Barat.

Ia disyaki dibawa oleh burung liar dan berkemungkinan dibawa oleh burung migrasi. – Malaysiapost