KPPKTMB tolak pelantikan Mohd Rani sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KTMB

KPPKTMB tolak pelantikan Mohd Rani sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KTMB

MAJLIS Eksekutif Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) mengambil ketetapan ‘tidak mengalu-alukan’ Mohd Rani Hisham Samsuddin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KTMB.

Ia diputuskan dalam mesyuarat majlis itu pada 9 November lalu, antara lain menolak pelantikan Mohd Rani bagi menggantikan Datuk lr Kamarulzaman Zainal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KTMB yang kontraknya berakhir pada 21 Oktober 2021.

Mohd Rani Hisham adalah bekas Presiden KTMB dengan kontrak selama dua tahun bermula 15 September 2017 hingga 14 September 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB, Abdul Razak Md Hassan berkata Majlis Eksekutif Kesatuan juga membantah pelantikan Mohd Rani Hisham sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KTMB.

Katanya, Majlis Eksekutif Kesatuan berpendirian menyokong dan mengekalkan lr Kamarulzaman.

“Kesatuan mempunyai alasan munasabah dan beranggapan Kementerian Kewangan telah membuat kekhilafan tentang cadangan melantik Mohd Rani Hisham sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KTMB.

“Jangan salahkan kesatuan andai pelantikan Mohd Rani Hisham akan mewujudkan pertikaian berpanjangan, malah kami tidak akan memberi kerjasama dengan beliau, kerana kami cukup kenal sikap beliau yang cukup sombong dan ego.

“Malah berdasarkan “track rekod” ketika menyandang jawatan Presiden KTMB, beliau tidak menunjukkan sebarang pembaharuan, malah kami anggap prestasinya tidak memuaskan,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Razak berkata, pihak kesatuan merayu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin campur tangan dan memperbetulkan keadaan. – Malaysiapost