Menteri agama jumpa Saifuddin, beri pamdangan berkaitan program hiburan

Menteri agama jumpa Saifuddin, beri pamdangan berkaitan program hiburan

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini berkongsi pandangan berhubung berhubung penganjuran program hiburan yang tular kebelakangan ini.

Menerusi catatan di Facebooknya, Dr Zulkifli berkata perkara itu dinyatakan ketika kunjungan beliau ke atas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Katanya, dalam pertemuan itu beliau menjelaskan pendirian Islam tidak menolak sebarang bentuk hiburan yang tidak bertentangan dengan agama.

“Hiburan yang tidak berlebihan, apatah lagi dalam kaedah psikoterapi yang menerapkan elemen agama, adalah satu bentuk pendekatan yang amat baik dalam situasi menekan pada masa ini.

“Dalam masa sama, beberapa isu sensitiviti umat Islam seperti bulan Maulidurrasul yang masih berbaki beberapa hari, perlu diberi pertimbangan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata, Saifuddin memaklumkan beliau akan menghubungi pihak penganjur dan berusaha meneliti ruang penambahbaikan yang sesuai.

“Saya juga mengambil maklum, pandemik Covid-19 sedikit sebanyak memberi kesan kepada kru belakang tabir yang terlibat dalam industri muzik.

“Mereka antara yang terjejas pendapatan, terutamanya yang bekerja sepenuh masa dalam industri ini.

“Jika ada apa-apa yang boleh kami – agensi-agensi agama di peringkat Persekutuan – hulurkan bantuan, saya amat berbesar hati,” katanya.

Beliau memaklumkan, mulai Mac hingga hari ini, pihaknya telah menyalurkan hampir RM360 juta kepada 10 kelompok sasar di seluruh Malaysia.

“Sebagai salah sebuah agensi di bawah saya, TV Alhijrah turut menyediakan pelbagai bentuk hiburan alternatif sepanjang penghujung bulan Maulidurrasul ini,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu, Facebook Dr Zulkifli dibanjiri komen warganet yang mahu beliau memberi perhatian menghentikan program berbetuk hiburan ketika banyak aktiviti lain disekat. – Malaysiapost