MMA sokong saringan Covid-19 sektor swasta dilakukan klinik, hospital swasta

MMA sokong saringan Covid-19 sektor swasta dilakukan klinik, hospital swasta

Fitri Nizam

PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) menyokong penuh kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa ujian saringan Covid-19 di sektor swasta hanya boleh dijalankan di klinik perubatan, pusat jagaan ambulatori dan hospital swasta sahaja.

Bagaimanapun, Presidennya, Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy, berkata MMA memandang serius terhadap isu kelonggaran penguatkuasaan yang secara tidak langsung memberi ruang kepada ujian saringan Covid-19 secara haram akibat permintaan yang meningkat.

Beliau berkata, jika perkara itu tidak dipantau, ia akan menyebarkan risiko kepada kesihatan orang ramai.

“Kenyataan Dr Noor Hisham berhubung perkara itu telah dikomersialkan dan diiklan secara meluas untuk perkhidmatan yang ditawarkan.

“Organisasi pengiklanan ujian saringan Covid-19 perlu didaftarkan dan mendapatkan kelulusan pihak berkuasa kesihatan sebelum mengeluarkan sebarang iklan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, untuk menjalankan ujian saringan pula, ia hanya boleh dilakukan oleh klinik berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Semua kemudahan kesihatan yang menawarkan perkhidmatan ujian swab juga minta untuk mengisytiharkan bahawa ujian tersebut dilaksanakan dengan mematuhi garis panduan ditetapkan KKM.

“Amat penting untuk orang awam tahu ujian saringan Covid-19 dilakukan oleh kumpulan perubatan yang terlatih dan berdaftar dengan MMA sekali gus mengelak risiko kesihatan atau kecederaan,” katanya.

Menurut Dr Subramaniam lagi, pemeriksaan Covid-19 (ujian antigen RTK atau RT-PCR swab) juga mesti dilakukan di bawah kawalan penyakit berjangkit dengan mematuhi sepenuhnya garis panduan KKM.

“Sampel yang betul juga mesti diperoleh daripada ujian swab untuk memastikan hasil yang tepat. Sekiranya ia dilakukan dengan cara salah, kemungkinan untuk peroleh keputusan tidak tepat sangat besar,” katanya. – Malaysiapost