Najib ajar bos KWSP mengira

Najib ajar bos KWSP mengira

DATUK Seri Najib Razak hari ini ‘mengajar’ Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tunku Alizakri Alias berkenaan pengiraan berkaitan isu caruman Akaun 1 sebanyak RM10,000.

Ia selepas Tunku Alizakri menyatakan semalam bahawa mereka yang ada simpanan RM10,000 dalam akaun KWSP, hanya akan cukup untuk membiayai pendapatan RM41 sebulan sepanjang 20 tahun selepas bersara.

Najib berkata, dalam erti kata lain, mereka yang mengeluarkan RM10,000 daripada akaun KWSP hari ini akan kerugian sebanyak RM41 sebulan selepas mereka bersara.

“Boss KWSP juga kata seramai 43% atau 5.38 juta ahli berusia bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang RM10,000 dalam Akaun 1.

“Dia kata ini berpunca daripada gaji asas yang rendah sekitar RM550 sebulan sebelum kerajaan melaksanakan gaji minima.

“Sebab itu, kerajaan BN masa saya Perdana Menteri buat gaji minima walaupun PM4 (Tun Dr Mahathir Mohamad) bantah dan kita sering beri dividen tahunan paling tinggi sejak 20 tahun lalu,” katanya menerusi catatan di Facebooknya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata kerugian pendapatan RM41 sebulan selepas bersara bagi mereka yang mengeluarkan RM10,000 sekarang tak seberapa membantu.

Katanya, mereka yang ingin keluarkan RM10,000 sekarang adalah golongan yang faham mereka mempunyai baki simpanan cukup dan yakin akan dapat menambah kembali simpanan pada masa depan selepas krisis Covid-19 berakhir.

“Keadaan sudah berubah sekarang di mana kita sudah ada gaji minima RM1,200. Mari kita buat pengiraan mudah.

“Kadar caruman KWSP untuk majikan = 13% (12% bagi mereka yang gaji bulanan melebihi RM5,000). Kadar cauruman KWSP untuk pekerja = 11% (tapi telah dikurangkan ke 7% bagi tahun ini)

“Menjadikan kadar caruman KWSP bagi pekerja bergaji bulanan RM5,000 ke bawah sebanyak 24%.

Maka dalam setahun,

  • Jumlah simpanan pencarum bergaji RM1,200 (gaji minima) = 23% X RM1,200 X 12 bulan = RM2,419
  • bergaji RM2,000 sebulan = 23% X RM2,000 X 12 bulan = RM4,032
  • bergaji RM3,000 sebulan = 23% X RM3,000 X 12 bulan = RM6,048

“Maka simpanan KWSP dalam tempoh masa 5 tahun sebelum mengira dividen tahunan atau kenaikan gaji adalah sebanyak:

  • Gaji RM1,200 = RM12,096
  • Gaji RM2,000 = RM20,160
  • Gaji RM3,000 = RM30,240

Berikutan itu, Najib berkata dalam tempoh singkat simpanan KWSP mereka mampu memulih jika ekonomi bertambah baik selepas Covid-19 dan negara dijaga oleh mereka yang bukan akauntan gagal atau tipu sijil, itupun sebelum kerajaan mula membantu.

“Seperti dalam perbahasan saya hari itu, tanggungjawab kerajaan bukan untuk menafi pencarum dari mengakses wang milik mereka sendiri pada masa mereka paling terdesak.

“Fokus kerajaan pula ialah mencari jalan memulih dan memastikan pencarum dengan baki simpanan rendah dapat menambah simpanan mereka dengan kadar paling cepat.

“Supaya sewaktu mereka bersara nanti, simpanan di dalam Akaun 1 akan mencukupi,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu seterusnya berkata, perkara itu boleh dilakukan dengan tiga cara iaitu:
Pertama, selepas Covid-19 kerajaan boleh membantu KWSP untuk meraih pendapatan yang lebih dengan memberi projek lebih lumayan kepada KWSP. Contohnya, sebelum ini projek KWASA Land atas tanah Lembaga Getah Malaysia dan projek Battersea di United Kingdom serta pemilikan 49% di dalam syarikat PLUS. Bukan diberikan kepada kroni.

Kedua, menaikkan semula kadar caruman bulanan majikan dan pencarum.

Ketiga, mengubah struktur pembayaran dividen kepada struktur berperingkat dengan izin “multi-tier dividend structure” di mana baki simpanan yang lebih rendah akan terima dividen yang lebih tinggi supaya pembahagian keuntungan KWSP akan lebih memihak kepada pencarum yang mempunyai baki simpanan rendah. – Malaysiapost