Parlimen: Usaha KKM hapus stigma Covid-19 jadi tumpuan

Parlimen: Usaha KKM hapus stigma Covid-19 jadi tumpuan

[PARLIMEN] USAHA Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menghapuskan stigma terhadap bekas pesakit Covid-19 serta impak jangka panjang stigma itu pada emosi individu terbabit, bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat dipaparkan dalam laman rasmi Parlimen, perkara itu terkandung dalam soalan pertama Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) pada Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) bermula jam 10 pagi ini.

Sesi MQT kemudian disusuli pertanyaan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta Menteri Alam Sekitar dan Air menyatakan punca banjir kilat di Seremban pada awal pagi 4 November lalu, menyebabkan lebih 1,000 rumah ditenggelami air.

Beliau juga meminta pencerahan mengenai rancangan dan tindakan Jabatan Pengairan dan Saliran, agar tidak berulang.

Bernama melaporkan, Ahmad Hassan (Warisan-Papar) pula meminta Menteri Pembangunan Luar Bandar menyatakan jumlah dan nilai bagi projek bekalan air luar bandar (BALB), projek bekalan elektrik Luar bandar (BELB) dan projek jalan luar bandar dan perhubungan desa di Sabah bagi 2020, status projek dan peratusan peruntukan yang telah digunakan setakat ini.

Bagaimanapun, seperti ditetapkan sebelum ini, sesi MQT kali ini hanya memerlukan Ahli-ahli Parlimen membacakan soalan dan menteri berkenaan akan menjawab secara bertulis pada hari sama dengan soalan dan jawapan akan disiarkan dalam portal Parlimen Malaysia secepat mungkin.

Selepas sesi MQT, tumpuan beralih kepada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang antara lain Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) meminta Menteri Luar Negeri menyatakan status kedudukan Sabah berkaitan isu tuntutan Filipina.

Perbahasan berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 berkenaan Belanjawan 2021 kemudian akan mengambil tempat untuk hari keempat.

Sidang dewan bermula minggu ini berlangsung hanya empat jam iaitu pada10 pagi hingga 2 petang setiap Isnin hingga Khamis, selain mengehadkan hanya 80 Ahli Parlimen – 41 pihak kerajaan, 39 pembangkang dan Bebas – dibenar berada dalam dewan pada satu-satu masa.

Ia sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak Covid-19.

Menurut takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari sehingga 15 Disember. – Malaysiapost