Pasangan saintis Islam hasilkan vaksin Covid-19 harapan dunia

Pasangan saintis Islam hasilkan vaksin Covid-19 harapan dunia

PASANGAN saintis beragama Islam, merupakan dua individu di sebalik penghasilan vaksin oleh syarikat pharmasutikal gergasi dunia, Pfizer dari Amerika Syarikat (AS) bagi menangani pandemik Covid-19.

Dr Ugur Sahin, 55, dan isterinya Dr Ozlem Tureci, 53, kini menjadi perhatian dunia atas kejayaan mereka.

Memetik laporan New York Times, ibu bapa mereka berasal dari Turki dan berhijrah ke Jerman semasa mereka kecil.

Dilaporkan, vaksin yang dihasilkan pasangan itu dikatakan 90 peratus berkesan susulan ujian terhadap 40,000 orang.

Pasangan ini mengasaskan syarikat biotek, iaitu BioNTech di Jerman dan mempunyai 1,800 kakitangan, kebanyakannya saintis.

Mereka berdua bukan sahaja memegang status doktor dan saintis hebat, malah dikategorikan sebagai jutawan.

Ini kerana, dikatakan syarikat BioNTech mereka bernilai 21 bilion dollar d pasaran saham Jerman.

Walaupun bergelar jutawan, suami isteri ini menjalani kehidupan seharian seperti insan biasa, malah langsung tidak mempunyai kereta dan hanya berbasikal ke pejabat.

Sementara itu, kediaman mereka hanya sebuah pangsapuri sederhana mewah yang terletak tidak jauh dari pejabat.

Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Alber Bourla berkata, Dr Ugur meletakkan kajiannya lebih utama daripada perniagaan dimiliki.

“Dr Ugur ini sangat unik. Beliau hanya pentingkan sains (dan hasil kajian syarikatnya) dalam hidupnya.

“Beliau langsung tidak berminat bercakap tentang bisnes,” katanya.

Oleh kerana terlalu sibuk dengan penyelidikan, Dr Ugur sehingga hari ini belum menandatangani sebarang perjanjian dengan Pfizer walaupun sudah bekerjasama sejak awal tahun ini.

Turut dilaporkan, tidak wujud kerisauan antara Alber dan Dr Ugur kerana kerjasama mereka dijalin atas rasa percaya satu sama lain. – Malaysiapost