Piala Malaysia batal, Terengganu raih slot ke Piala AFC 2021 – MFL

Piala Malaysia batal, Terengganu raih slot ke Piala AFC 2021 – MFL

Muhammad Mustakim Ramli

MALAYSIA Football League (MFL) mengumumkan pembatalan kejohanan Piala Malaysia 2020 berkuat kuasa hari ini.

Keputusan dicapai dalam mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas rayuan untuk meneruskan kejohanan itu ditolak Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ab Ghani Hassan, berkata MFL harus akur dengan keputusan terbaharu MKN apabila kerajaan tidak membenarkan kejohanan itu berlangsung sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan.

“Sudah tentu dalam surat rayuan sebelum ini MFL telah menyediakan perancangan cukup rapi selaras panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan kejohanan Piala Malaysia 2020 yang masih berbaki tujuh perlawanan dapat diteruskan.

“Justeru, MFL menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah terpaksa mengambil keputusan cukup berat membatalkan saingan TM Piala Malaysia 2020 demi kesihatan dan keselamatan semua pihak seperti disarankan kerajaan.

“Ini kerana pembatalan ini terpaksa dilakukan di mana kita tidak boleh lagi menangguhkan kempen Piala Malaysia 2020 ke bulan yang lain kerana kontrak pemain secara amnya akan berakhir pada 30 November ini,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, banyak polemik akan tercetus jika MFL melanjutkan tarikh Piala Malaysia di mana pasukan-pasukan akan berdepan masalah seperti ketiadaan pemain serta terpaksa menanggung kos lebih tinggi.

“Apapun, saya mewakili MFL mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang membenarkan saingan Liga Malaysia seperti Liga Super dan Liga Premier dijalankan sebelum ini.

“MFL juga memberi penghargaan kepada setiap pasukan yang berusaha keras untuk bertanding dalam Liga Malaysia iaitu Liga Super, Liga Premier dan Piala Malaysia musim ini dengan mematuhi SOP begitu baik.

“MFL juga tidak lupa kepada penaja-penaja iaitu Telekom Malaysia (TM), CIMB, AirAsia, Nike dan F&N 100Plus yang sentiasa memberi sokongan kepada kami ketika berdepan detik sukar ini,” katanya.

Beliau mengesahkan Terengganu FC (TFC) yang menduduki tangga ketiga Liga Super, meraih slot Piala AFC 2021 sejurus pembatalan Piala Malaysia. – Malaysiapost