PKPD Medan 88: Majikan bantu pekerja larikan diri

PKPD Medan 88: Majikan bantu pekerja larikan diri

Fitri Nizam

TERDAPAT majikan yang bersekongkol dengan pekerja yang menetap di Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang dengan menyediakan bas untuk melarikan diri, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Justeru, Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata, kerajaan sudah mengarahkan polis mengesan dan menangkap 400 penduduk yang ‘ghaib’ sejak hari pertama lokasi itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ismail berkata, senario di Medan 88 itu lebih mudah berbanding ketika melaksanakan PKPD di Selangor Mansion sebelum ini.

“Kali ini saya difahamkan lebih mudah kerana ada majikan yang terlibat sama.

“Saya dimaklumkan majikan di lokasi itu bersubahat dengan menyediakan bas untuk pekerja ini dibawa keluar. Jadi lebih mudah untuk PDRM kerana mereka boleh dikesan melalui majikan.

“Kita juga memutuskan untuk mengambil tindakan bukan saja terhadap pekerja yang lari malah majikan yang bersubahat mesti diambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan pekerja dan majikan itu bukan saja menyusahkan pihak penguatkuasaan malah membahayakan nyawa orang lain.

“Justeru, tindakan tegas mesti diambil terhadap mereka ini,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang, Mohamad Zain A Hamid, berkata jumlah 400 penghuni di lokaliti itu yang tidak pulang ke kediaman masing-masing diperoleh melalui rakan dan jiran selepas polis mengepung kawasan itu pada jam 6 petang Selasa lalu.

Mohamad Zain berkata, pihaknya mengubah strategi untuk mengepung awal kawasan itu sebelum pelaksanaan PKPD diisytiharkan bagi mengelak penduduk melarikan diri.

Menurutnya, kawasan itu dihuni sekitar 800 penduduk dan pihaknya sedang mengesan mereka yang ‘ghaib’ melalui rakan sebilik, jiran serta aplikasi MySejahtera. – Malaysiapost