Tangguh projek, utamakan perbelanjaan Covid-19

Tangguh projek, utamakan perbelanjaan Covid-19

Muhammad Mustakim Ramli

KERAJAAN diminta menangguhkan projek untuk pembangunan pejabat beberapa kementerian dalam Belanjawan 2021.

Tun Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi) berkata, peruntukan pembangunan pelbagai kementerian itu perlu ditangguh dahulu dan mengutamakan kepada perbelanjaan berkaitan Covid-19.

Bekas Perdana Menteri itu berkata peruntukan pembangunan pelbagai kementerian dicatatkan meningkat 520 peratus.

“Ini termasuk pembangunan pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri RM160 juta dan bangunan pejabatnya di seberang laut bernilai RM64.4 juta, RM231 juta pula bagi pembangunan pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Bagi peruntukan Jabatan Perdana Menteri dinaikkan dari RM7.9 bilion pada 2020 kepada RM11.7 bilion.

“Apa perlu RM1 bilion daripada RM100 bilion untuk projek khas. Apa perlu RM125 juta bagi menaik taraf Kompleks Angkasapuri. Kita perlu tangguhkan projek ini,” katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Mahathir juga mencadangkan saiz Kabinet dikurangkan kerana jumlahnya terlalu besar dan jika saiz Kabinet dikecilkan ia tidak akan menjejaskan perjalanan pentadbiran. – Malaysiapost