ABPBH diteruskan di sebalik bantahan pelbagai pihak

ABPBH diteruskan di sebalik bantahan pelbagai pihak

ANUGERAH Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-33 yang dijadual berlangsung jam 9 malam ini, akan diteruskan di sebalik bantahan pelbagai pihak.

Menerusi satu kenyataan, TV3 berkata acara itu akan berlangsung tanpa kehadiran penonton dan kelab peminat.

Menurut stesen televisyen itu, sejajar norma baharu, malam kemuncak ABPBH 33 di Axiata Arena, Bukit Jalil hanya dihadiri barisan artis yang terlibat secara langsung.

“Tiada penonton termasuk kelab peminat yang akan hadir,” katanya.

Namun, menurut kenyataan itu, ia tidak bermakna para artis tidak diberi peluang untuk melaram kerana sesi karpet merah tetap diadakan.

“Pastinya setelah menghabiskan masa dan tenaga untuk menyiapkan diri dalam persalinan yang paling menawan, ia harus dipersembahkan untuk dinikmati peminat.

“Jadi, jangan bimbang. Aksi Karpet Merah masih diteruskan dan anda boleh saksikannya secara langsung,” katanya.

Menurut TV3, segmen Karpet Merah ABPBH33 akan dikendalikan penyanyi, Sissy Imann dan pelakon, Sean Lee.

Acara utama ABPBH33 akan dihoskan Datuk AC Mizal dan Nabila Huda serta menampilkan persembahan antaranya Ernie Zakri, Hafiz Suip, Syamel, Elly Mazlein, Faizal Tahir, Zizi Kirana, Naim Daniel, Ismail Izzani serta dua penyanyi legenda, Azlina Aziz dan Liza Aziz.

Sebelum ini, pelbagai pihak mendesak penganjur membatalkan acara hiburan itu ketika rakyat berdepan pelbagai masalah susulan pelaksanaan PKPB dan kesan pandemik Covid-19.

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pula menyerahkan surat rasmi kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menggesa agar hiburan yang tidak mematuhi syariah dibatalkan.

Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan berkata ia termasuk program seperti ABPBH, terutama di saat umat Islam berdepan dengan pandemik Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata ABPBH Ke-33 dibenarkan berlangsung namun perlu mematuhi SOP yang ketat.

Katanya, program hiburan berada di bawah industri kreatif termasuk dalam senarai aktiviti dibenarkan dan sudah dinyatakan dalam SOP PKPB yang lalu.

Menurutnya, semua yang terbabit perlu mematuhi SOP ditetapkan iaitu tiada penonton, wajib memakai pelitup muka, tidak membabitkan warga asing dan jumlah kru yang minimum, selain acara itu akan dipantau wakil Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan polis. – Malaysiapost