Ahmad Maslan lepaskan jawatan dalam PAC

Ahmad Maslan lepaskan jawatan dalam PAC

AHLI Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan tidak lagi menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Menurut beliau, mengambil keputusan sama ialah Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar yang juga Pengerusi Umno Selangor.

Difahamkan, jawatan tersebut digantikan oleh Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor.

Ahmad yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan berkata, sebagai Setiausaha Agung Umno, beliau perlu fokus kepada kerja-kerja parti yang banyak, begitu juga dengan Noh.

“Kami sibuk. Komitmen PAC banyak. Mesyuarat hampir setiap hari, waktu sidang pagi dan petang,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaGazette, hari ini.

Ahmad mengambil keputusan berundur selepas seminggu dilantik ke jawatan berkenaan.

Sementara itu, Noh mengumumkan penarikan diri serta merta untuk memberi perhatian lebih kepada Umno negeri Selangor pada 4 November lalu.

Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau berharap PAC akan terus memainkan peranan dalam memastikan tadbir urus kewangan negara berjalan dengan lancar dan teratur.

PAC kini dipengerusikan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh dan Naib Pengerusi, Datuk Azizah Mohd Dun yang merupakan Ahli Parlimen Beaufort. – Malaysiapost