Ingkar arahan polis: Bekas Presiden Umany mengaku tidak bersalah

Ingkar arahan polis: Bekas Presiden Umany mengaku tidak bersalah

BEKAS Presiden Persatuan Pemuda Baru Universiti Malaya (Umany), Wong Yan Ke mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini, atas tuduhan ingkar arahan pegawai polis ketika membuat serbuan di sebuah rumah, Sabtu lalu.

Yang Ke, 23, memohon dibicarakan sebaik kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa ingkar perintah Asisten Superintendan Lee Robert supaya berhenti membuat rakaman video secara langsung ketika polis membuat serbuan di sebuah rumah di Jalan 17/48, Petang Jaya pada 7 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum sebulan atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Atifah Hazimah Wahab sebelum itu menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh kerana membabitkan kes berkepentingan awam.

Bagaimanapun, tertuduh menerusi peguam Rajsurian Pillai memohon dikenakan bon tanpa cagaran memandangkan hukuman yang diperuntukkan adalah rendah, selain sudah memberi kerjasama penuh.

Mahkamah kemudian membenarkan Yan Ke diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Februari 2020 untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini polis menahan seorang lelaki kerana mengganggu dan menghalang tugas ketika membuat serbuan di sebuah rumah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat dilaporkan berkata, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya membuat serbuan di rumah berkenaan jam 3.30 petang. – Malaysiapost