Kerajaan kekal tak iktiraf UEC – Timbalan Menteri

Kerajaan kekal tak iktiraf UEC – Timbalan Menteri

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) memberi bayangan tidak akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), iaitu penilaian untuk sekolah persendirian Cina.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimin Yahaya menerusi jawapan kepada soalan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang dibuat di kamar khas Dewan Rakyat,10 November lalu, lapor Malaysiakini.

Dalam soalannya, Khoo meminta kerajaan menjelaskan pendirian berkenaan Pasukan Petugas Dasar UEC yang ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu, antara lain untuk membuat kajian berkenaan pengiktirafan sijil itu, selain jika kerajaan PN berhasrat untuk meneruskan rancangan pengiktirafannya.

Berdasarkan hansard itu, Muslimin berkata pendirian kerajaan, sekurang-kurangnya pada masa ini kekal tidak mengiktiraf UEC.

“UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan sekiranya mahu dipertimbangkan penyelesaiannya oleh kerajaan pada masa hadapan,” katanya.

Muslimin berkata, kerajaan menghormati peranan pasukan petugas khas itu dan mengambil maklum usaha telah dilakukan, terutama proses libat urus dengan pelbagai pihak.

“KPM katanya, sentiasa hubungi pasukan petugas itu, khususnya pengerusinya, Eddin Khoo untuk mengetahui perkembangan dan status laporan walaupun keanggotaan pasukan tamat pada 29 Februari 2020.

“Menghormati kewibawaan anggota pasukan petugas dan menyedari ia adalah suatu isu yang rumit dan sensitif di kalangan rakyat yang telah berlarutan selama hampir 45 tahun, KPM tidak pernah mendesak supaya penyediaan laporan tersebut dipercepatkan,” katanya.

Katanya lagi, ini bagi mengelak isu UEC menjadi perdebatan khalayak umum.

Bagaimanapun, Muslimin berkata, isu pengiktirafan UEC dihangatkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati proses penyediaan laporan pasukan petugas.

Beliau membangkitkan laporan kenyataan Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong) pada 17 Julai, yang mendakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara peribadi berharap UEC akan diiktiraf pada masa akan datang dan ia dinafikan Pejabat Perdana Menteri.

Muslimin juga memetik rancangan bual bicara Astro Awani, Consider This yang menampilkan Khoo untuk membincangkan soal cabaran dalam pengiktirafan sijil tersebut.

“Bagi mendapatkan penjelasan hal berbangkit mengenai UEC serta status kemajuan laporan pasukan petugas, pengurusan tertinggi KPM (Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah Pelajaran) telah mengadakan pertemuan dengan pengerusinya pada 28 Julai lalu,” katanya.

Ketika itu, katanya, KPM dimaklumkan laporan telah tersedia tetapi memerlukan penambahan maklumat dan penjelasan.

“Antaranya adalah mengkaji isu mengenai UEC dari sudut perundangan,” katanya sambil menambah semua anggota pasukan petugas telah bersetuju dan menetapkan pendirian atas beberapa perkara utama yang dibincangkan dalam laporan itu secara konsensus.

Laporan itu ditulis Khoo dan ahli pasukan petugas lain, iaitu Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Mohamad Raimi Ab Rahim dan Presiden Dewan Perniagaan Malaysia – China, Tan Yew Sing, setuju untuk menetapkan pendirian atas beberapa perkara utama, bagi mengesahkan syor dalam laporan itu dan mengelak percanggahan pendapat di masa akan datang.

Beliau seterusnya berkata, sehingga kini KPM tidak pernah menerima sebarang laporan awal, draf laporan atau laporan lengkap daripada pasukan petugas, sepertimana ditetapkan semasa pelantikan dibuat.

“Oleh yang demikian, tiada sebarang hasil kajian dapat diperhalusi dan diteliti oleh KPM. KPM akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap laporan tersebut sekiranya ia diserahkan kepada kami,” katanya. – Malaysiapost