Muhyiddin PM yang lemah wajar letak jawatan- Shahrir

Muhyiddin PM yang lemah wajar letak jawatan- Shahrir

PEMIMPIN veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang lemah dan wajar meletak jawatan.

Kelemahan itu ketara selepas Muhyiddin dan kerajaan pimpinannya gagal mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong bagi mengisytiharkan darurat untuk mengatasi penularan Covid-19.

“Keputusan untuk diistyihar darurat sudah cukup memerlukan Muhyiddin meletakkan jawatan kerana pentadbir semasa darurat tidak perlu baginya kekal sebagai Perdana Menteri (PM).

“Siapalah yang menasihat Muhyiddin untuk menyembahkan nasihat ini kepada Agong? Saya dengar ramai peguam-peguam yang rapat dengan Bersatu dan komponen Perikatan Nasional (PN).

“Apabila nasihat Muhyiddin ditolak oleh Agong, sekali lagi terdedah kelemahan kepimpinan Muhyiddin sebagai PM dan lagi mengukuhkan sebab Muhyiddin sepatutnya meletakkan jawatannya sebagai PM,” katanya dalam satu catatan di Facebooknya, petang ini.

Jelasnya tindakan Muhyiddin memohon pengisytiharan darurat membuktikan yang beliau dalam keadaan tertekan.

“Ianya suatu tindakan yang ‘desperate’ dan mendedahkan kelemahan kumpulan penasihat dan perancang Muhyiddin, ‘inner circle’nya dan jemaah menteri PN,” katanya lagi.

Oktober lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah bertitah menolak cadangan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia buat masa ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata baginda berpendapat kerajaan sekarang boleh dipercayai untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung Covid-19.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah berpendapat kerajaan sekarang boleh dipercayai untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung Covid-19.

Seterusnya kata Shahrir, kerajaan PN terpaksa berhadapan pula dengan Dewan Rakyat untuk meluluskan Belanjawan 2021.

“Sekarang Bajetnya itu mendapat pula ‘talian hayat’ dari Agong yang bertitah agar Bajet 2021 dilulus oleh Dewan Rakyat.

“Dah terbongkar lagi kelemahan kepimpinan kerajaan PN dibawah Muhyiddin.

“Tidak adil bagi rakyat dan negara terpaksa mendokong kepimpinan kerajaan yang lemah setelah baharu 30 bulan dahulu je, mandat rakyat melalui PRU14 tidak akhirnya membawa kepada kebaikan dan manfaat untuk mereka,” katanya.- Malaysiapost