PAS digesa beri penjelasan

PAS digesa beri penjelasan

PIMPINAN Muafakat Nasional (MN) terutamanya daripada PAS digesa memberi penjelasan berhubung keputusan Perikatan Nasional (PN) yang menubuhkan jawatankuasa di pelbagai peringkat termasuk di negeri.

Bekas Presiden Kita, Zamil Ibrahim, berkata keputusan PN yang dianggotai oleh PAS itu telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada pendukung MN dan pemimpinnya.

Beliau mendakwa, sebahagian pimpinan PAS di peringkat Pusat juga terkejut dengan laporan itu malah ada yang memberitahunya bahawa Majlis Syura dan Dewan Ulama tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Cubaan untuk membunuh Umno, Barisan Nasional (BN) dan MN sedang digerakkan dan saya harap kepimpinan wajar membuka mata akan perkara ini.

“Perkara ini sudah semakin parah jika dibiarkan. Mohon kepimpinan MN tanganinya dengan lebih berwaspada,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyeru supaya kepimpinan kedua-dua parti untuk duduk dan berunding untuk putuskan apa yang terbaik buat MN di semua peringkat.

“Saya harap kepimpinan kedua-dua parti memikirkan untuk keuntungan MN bagi jangka masa panjang. Wajib diingat musuh sentiasa cuba memecahkan muafakat ini.

“Musuh juga berada di mana-mana termasuk yang berada dekat dengan kita. Tali barut politik ada di mana-mana, berhati-hatilah,” katanya. – Malaysiapost