Patuhi SOP sambut Hari Deepavali – PM

Patuhi SOP sambut Hari Deepavali – PM

Nilam Oshman


PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta penganut Hindu yang menyambut Hari Deepavali esok, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.


Katanya, sambutan tahun ini agak berbeza kerana ia berlangsung ketika negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.
“Kes-kes harian yang dicatatkan masa ini agak tinggi sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengawal dan mengekang penularan wabak ini dalam komuniti kita.


“Saya berharap, saudara dan saudari yang beragama Hindu tetap meraikan perayaan Deepavali dengan meriah di rumah bersama ahli keluarga masing-masing dengan mematuhi segala garis panduan atau SOP yang telah ditetapkan.


“Elakkan bersalaman ataupun berhimpun dan amalkan penjarakan fizikal untuk kita bersama-sama memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Muhyiddin, rakyat Malaysia bertuah kerana negara ini mempunyai pelbagai lapisan masyarakat yang berbilang kaum dan agama.


Kata beliau, setiap kaum mempunyai budaya, tradisi dan adat resam masing-masing yang menjadi sumber kekuatan sebagai sebuah negara majmuk yang aman, harmoni dan bersatu padu.


“Justeru, saya ingin mengajak saudara dan saudari untuk bersama menghormati dan menghargai kepelbagaian yang wujud di negara ini dengan berkongsi kemeriahan perayaan Deepavali yang disambut oleh penganut agama Hindu di Malaysia,” katanya.


Beliau berharap, semoga pesta cahaya Deepavali tahun ini akan memberikan sinar harapan kepada rakyat semua untuk mengharungi pelbagai cabaran getir yang sedang dihadapi pada masa ini.


“Bersamalah kita berganding bahu, bersatu-padu dengan semangat yang cekal dan tabah untuk masa hadapan Malaysia yang lebih cerah buat kita semua,” katanya.


Dalam pada itu, beliau dan keluarga mengucapkan selamat menyambut Hari Deepavali kepada semua penganut agama Hindu. – MalaysiaPost