‘Teresa Kok contoh pembangkang yang hanya tahu membangkang’

‘Teresa Kok contoh pembangkang yang hanya tahu membangkang’

“DIA adalah contoh seorang pembangkang yang hanya membangkang semata-mata tanpa matlamat yang jelas,” kata Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Mohammed Nizham Abdullah Hamidi.

Beliau merujuk kepada Ahli Parliman Seputeh dari DAP, Teresa Kok kerana tidak membuat komen membina berhubung pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa membenarkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai wilayah bebas berniaga.

Mohammed Nizham berkata, pengumuman Annuar itu membolehkan mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Beliau berharap cadangan itu disokong pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan panduan tepat, peraturan ringan dan syarat pelesenan untuk memastikan aktiviti perniagaan tidak mengganggu lalu lintas atau menimbulkan rasa tidak selesa warga kota.

Pada masa sama, katanya, Pemuda BN Wilayah Persekutuan kecewa dengan Ahli Parlimen Seputeh kerana tidak membuat komen membina ketika membahaskan perkara itu di Dewan Rakyat, semalam.

“Dia telah menunjukkan tingkah laku yang tidak dapat diterima dengan memprovokasi Ahli-Ahli Parlimen lain untuk membuka gerai nasi lemak di Jalan Parlimen.

“Kegagalannya memahami keseluruhan isu dan saranan dasar oleh kementerian telah menunjukkan kurangnya profesionalisme wakil rakyat DAP itu dalam mewakili konstituennya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohammed Nizham berkata, ketika ini rakyat berjuang mencari nafkah akibat kesan pandemik Covid-19 dan ramai beralih ke perniagaan makanan dan minuman.

Berikutan itu, katanya, kaedah yang diputuskan Kementerian Wilayah Persekutuan itu antara pilihan terbaik untuk mereka menjana pendapatan.

Baru-baru ini, Annuar mengumumkan Wilayah Persekutuan akan menjadi ‘wilayah bebas berniaga’ selama enam bulan bermula Ahad ini, bertujuan meringankan beban warga Malaysia di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan susulan PKPB.

Menerusi inisiatif itu, penduduk ketiga-tiga wilayah dibenarkan berniaga apa saja jenis perniagaan termasuk makanan dan pakaian sehingga 15 April 2021, namun perlu mematuhi beberapa syarat, antaranya lokasi tidak ganggu lalu lintas, menjaga kebersihan makanan dan persekitaran tempat niaga.

Semalam, Kok mempersoalkan keputusan Annuar itu kerana seolah-olah cuba menjadikan Wilayah Persekutuan seperti kawasan Parlimen menteri itu di Ketereh, Kelantan.

“Di mana semua orang boleh buka gerai, buka meja, jual apa-apa pun di mana-mana tempat. Ini berbahaya kerana ia seperti membuka pintu kepada ramai orang di Kuala Lumpur dan Putrajaya melanggar undang-undang dan peraturan kerajaan tempatan,” katanya. – Malaysiapost