Dr Noor Hisham ‘tunjuk bukti’ turun padang ke Sabah

Dr Noor Hisham ‘tunjuk bukti’ turun padang ke Sabah

Nilam Oshman

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan beliau ‘turun padang’ ke Sabah bagi melihat sendiri  kesiapsiagaan makmal kesihatan awam Kota Kinabalu, akhir Ogos lalu.

Dr Noor Hisham berkata, beliau berkesempatan melaksanakan libat urus dengan warga makmal dan petugas kesihatan di lapangan ketika berada di negeri berkenaan. 

“Saya sempat melihat sendiri kesiapsiagaan makmal kesihatan awam Kota Kinabalu yang telah dipertingkatkan keupayaan makmal melaksanakan ujian RT-PCR kepada 2,500 ujian seharian.

“Saya juga sempat melibat urus dengan warga Makmal dan petugas kesihatan di lapangan untuk mendengar sendiri segala isu dan cabaran terkini,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Dalam hantaran sama, Dr Noor Hisham turut memuat naik semula hantaran mengenai kunjungannya di Sabah pada Ogos lalu. 

Dr Noor Hisham berkata, beliau juga telah melaksanakan libat urus dengan semua ketua jabatan dan pakar perubatan dan kesihatan awam di Sabah melalui ‘Video Conference’.

“Timbalan saya, Datuk Dr Chong Chee Keong turut turun padang melihat sendiri perkhidmatan kesihatan awam baru-baru ini,” katanya.

“Dr Chee Keong masih menjalani tempoh kuarantin 14 hari sejurus kembali dari Sabah.

“InshaAllah, kita menggalas tanggungjawab bersama memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dalam negara,” katanya lagi.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing mendakwa Dr Noor Hisham ‘takut mati’ kerana tidak ke Sabah ketika perbahasan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat pada 11 November lalu.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham menjelaskan isu ‘takut mati’ tidak timbul kerana sebagai orang Islam semua perlu menerima kematian itu di mana-mana.

Malah, Dr Noor Hisham turut menegaskan beliau sendiri telah turun ke Sabah iaitu pada akhir Ogos lalu dan melihat kepada pengurusan iaitu kesiapsiagaan KKM untuk PRN Sabah. -Malaysiapost