Haqiem Rusli nafi ‘beli undi’ menang Bintang Paling Popular ABPBH33

Haqiem Rusli nafi ‘beli undi’ menang Bintang Paling Popular ABPBH33

PENYANYI dan komposer, Haqiem Rusli menafikan dia membeli undi sehingga meraih anugerah Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH ke-33 (ABPBH 33), semalam.

Menurut Haqiem, 22, kemenangan yang diperoleh adalah hasil titik peluh dan usaha keras kelab peminatnya, Qiemilio yang ingin melihat dia berjaya.

“Demi Allah saya tidak menggunakan sesen pun wang saya untuk meminta orang mengundi. Semua undian yang diterima adalah daripada peminat yang sudah dianggap seperti keluarga saya.

“Qiemilio memang nak tengok saya menang untuk kategori utama ini. Kemenangan ini adalah berdasarkan undian dan saya harus memberikan kredit kepada Qiemilio yang berusaha keras untuk memastikan kemenangan ini.

“Tahun ini kemenangan adalah milik saya dan diharapkan tiada pihak yang mempertikaikannya. Harap tiada yang bergaduh sebaliknya saling memberikan sokongan,” katanya.

Haqiem turut memenangi kategori Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia di mana penyanyi Khai Bahar telah memenangi kategori itu selama tiga tahun berturut-turut.

Menurut pelantun lagu ‘Tergantung Sepi’ itu, dia menerima sebarang kritikan atas kemenangan yang diperoleh kerana masing-masing mempunyai pendapat.

“Saya pernah lalui kecaman yang lagi teruk. Jadi kecaman mengenai isu ini adalah satu perkara yang biasa. Lagipun mereka ada pendapat masing-masing.

“Apapun kecaman yang diterima saya reda. Apa yang penting saya tahu apa yang saya buat. Saya dengar dan belajar daripada segala kesilapan serta sentiasa perbaiki diri menjadi lebih baik,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Haqiem berjaya merangkul trofi Bintang Paling Popular ABPBH 33 di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam.

Beliau berjaya memperoleh undi sebanyak 22,332,676 undi sepanjang tempoh undian ABPBH 33 dibuka sejak awal bulan lalu hingga 8 November lalu. – Malaysiapost