Ingkar PKPP: 502 individu ditahan

Nilam Oshman

SERAMAI 502 individu ditahan atas kesalahan mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu seramai 470 individu dikompaun manakala 32 direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (204), tidak memakai pelitup muka (99), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (63), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (55), rentas daerah/negeri PKPB tanpa kebenaran (40) dan lain-lain (41),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Ops Benteng berjaya menahan 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong serta merampas lapan kenderaan darat.

Selain itu, katanya, sebanyak 250 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan ATM (183 SJR), PDRM (58 SJR), AKSEM (9 SJR). -Malaysiapost