Kanak-kanak jadi habuan seksual anak pengasuh

Kanak-kanak jadi habuan seksual anak pengasuh

SEORANG pekerja badan berkanun industri hiburan ditahan polis Selasa lalu kerana didakwa melakukan perbuatan seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki yang dihantar ke rumah pengasuh di Taman Wahyu, Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kejadian itu terbongkar selepas mangsa berusia lapan tahun memaklumkan dia rasa tidak selesa ketika berada di rumah pengasuh kepada ibunya yang berumur 34 tahun, Isnin lalu.

Beliau berkata, mangsa memberitahu lelaki berusia 29 tahun itu yang juga anak kepada pengasuhnya melakukan perbuatan tidak senonoh terhadapnya di dalam bilik.

“Kejadian itu berlaku sebanyak dua kali ketika mangsa berada di rumah pengasuh dan suspek meminta dia tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa.

“Malah suspek juga meminta mangsa tidak menceritakan kepada abangnya kerana suspek berkawan baik dengan abang kanak-kanak itu,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Nik Ros Azhan berkata, susulan itu, ibu mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Jinjang untuk tindakan selanjutnya.

“Susulan itu, kita menahan suspek di kediamannya jam 11 pagi, Selasa lalu, bagi membantu siasatan.

“Semakan mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan,” katanya. -Malaysiapost