Kita tidak terkejar untuk memerangi setiap kata nista, kata Adham

Kita tidak terkejar untuk memerangi setiap kata nista, kata Adham

Nurul Huda Abhar

Di sebalik kritikan terhadap petugas barisan hadapan khususnya Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba tampil menzahirkan penghargaan ke atas usaha mereka memerangi penularan wabak Covid-19.

Menurut Dr Adham, apa yang paling utama adalah fokus yang berterusan dalam menjalankan tugas menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat tanpa mempedulikan kata-kata nista daripada sesetengah pihak.

“Adat berjuang, tidak semua usaha dipandang, juga tidak semua kepayahan disisihkan.

“Kata bijak pandai, ketenangan adalah separuh ubat dan kesabaran adalah permulaan kesembuhan.

“Saya akui adakalanya kita tidak terkejar untuk memerangi setiap kata nista kerana sebahagian besar tenaga kita di Kementerian Kesihatan (KKM) ini terfokus kepada usaha memerangi Covid-19,” katanya dalam catatan di laman Instagramnya.

Pada masa sama, Dr Adham mengakui amat memahami situasi yang sedang dihadapi oleh petugas barisan hadapan, dan juga ahli keluarga mereka ketika negara sedang giat melawan pandemik maut itu.

“Saya amat memahami segala usaha penat lelah semua frontliners dan kaum keluarga mereka yang turut terkesan.

“Allah jualah sebaik-baik pengurnia balasan. Teruskan apa yang telah kita usahakan, kita mesti menang!,” ujarnya lagi.

Terdahulu, terdapat setengah pihak yang mempersoalkan tanggungjawab petugas barisan hadapan khususnya dari KKM yang dikatakan kononnya memberi gambaran tidak benar terhadap situasi Covid-19 yang sedang berlaku di Sabah.

Ini termasuk kenyataan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing di Dewan Rakyat sebelum ini yang menuduh Noor Hisham “takut mati” kerana tidak mengunjungi Sabah pada waktu puncak wabak Covid-19 di negeri itu. – Malaysiapost