KWSP umum perincian i-Sinar 18 November

KWSP umum perincian i-Sinar 18 November

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang memuktamadkan perincian kemudahan akses ke Akaun 1 ahli, iaitu i-Sinar yang akan diumumkan pada 18 November ini.

Menerusi kenyataan Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP hari ini, i-Sinar diwujudkan hasil konsultasi mendalam bersama pihak berkepentingan agar ahli terkesan dapat mengharungi cabaran semasa, selain memastikan kesejahteraan masa depan persaraan mereka.

“KWSP yakin amaun boleh diakses daripada i-Sinar berserta amaun maksimum RM500 sebulan daripada Akaun 2 melalui kemudahan i-Lestari (dilancarkan pada April lalu), dapat membantu ahli terkesan menampung keperluan mereka dalam jangka masa pendek,” katanya.

Menurut kenyataan itu, i-Sinar merupakan lanjutan daripada pengeluaran i-Lestari yang kini dijangka mencecah amaun pengeluaran sebanyak RM30 bilion dan akan berakhir Mac 2021.

“Permohonan i-Sinar boleh dibuat bermula bulan depan dan amaun yang diakses akan dikreditkan ke akaun bank pemohon bermula Januari tahun depan,” katanya. -Malaysiapost