Lima individu ditahan termasuk seorang nenek selepas ugut, tikam tayar SUV JPJ

Lima individu ditahan termasuk seorang nenek selepas ugut, tikam tayar SUV JPJ

LIMA individu ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta melakukan ugutan jenayah dengan menggunakan senjata parang terhadap sepasukan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jitra, Kedah semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.15 petang itu, di mana salah seorang suspek turut bertindak menikam tayar kenderaan utiliti sukan (SUV) penguatkuasa JPJ.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, sebelum kejadian tersebut sepasukan empat penguat kuasa JPJ mengarahkan sebuah van dinaiki empat individu termasuk dua wanita supaya berhenti untuk pemeriksaan.

“Bagaimanapun, pemandu van lelaki berusia 20-an itu enggan berhenti menyebabkan penguat kuasa JPJ mengekorinya. Dia kemudian berhenti di hadapan sebuah pasar raya di Jitra.

“Pemeriksaan kemudian mendapati pemandu van terbabit tiada lesen memandu selain cukai jalan dan sijil pemeriksaan Puspakom van itu tamat tempoh.

“Secara tiba-tiba, seorang wanita berusia 45 tahun turun dari van dan membuat provokasi dengan mengatakan anggota penguat kuasa JPJ bersikap kurang ajar kerana menakutkan cucunya dengan membunyikan siren,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, menurut Mohd Ismail, ketika hendak mengeluarkan kompaun, anggota JPJ terbabit ditolak seorang penumpang lelaki van berkenaan yang turut membuat ancaman jenayah sambil menunjukkan sejumlah wang dipercayai bertujuan mengaibkann penjawat awam.

“Ketika itu seorang lagi lelaki berusia 40-an keluar dari premis berhampiran dengan bersenjatakan sebilah parang dan mengacukannya ke arah anggota JPJ terbabit sambil mengeluarkan ugutan yang mengancam nyawa.

“Lelaki itu kemudian menikam tayar hadapan sebelah kiri kenderaan JPJ menyebabkannya pecah,” katanya lagi.

Susulan itu, katanya, polis menahan tiga lelaki dan dua wanita disyaki terbabit dalam kes berkenaan tidak lama kemudian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506, Seksyen 353, Seksyen 427 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan selain Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020. – Malaysiapost