Mee kari daging babi, Jakim nasihat pengguna semak sebelum tular

Mee kari daging babi, Jakim nasihat pengguna semak sebelum tular

Nurul Huda Abhar

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan bahawa premis makanan Oldtown White Coffee merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.

Ia susulan penularan berita yang mendakwa mee kari yang terdapat dalam menu di premis tersebut tidak halal kerana menggunakan daging babi sebagai bahan masakan mereka.

Jakim dalam kenyataan memaklumkan bahawa premis makanan yang memiliki SPHM bermaksud seluruh rantaian halalnya telah disemak dan disahkan oleh pihak berautoriti.

“Justeru, masyarakat dinasihatkan agar lebih berwaspada sebelum menyebarkan sesuatu berita atau mesej tular berkaitan isu halal yang tidak diketahui status kebenarannya dengan merujuk pihak berautoriti agar tidak terjebak ke kancah fitnah, salah faham sesama ummah dan menjejaskan keharmonian negara.

“Pengguna juga digalakkan untuk mengutamakan produk atau premis makanan yang memiliki SPHM yang sah kerana ianya dijamin halal dan toyyiban iaitu suci, bersih dan selamat serta mengikut garis panduan, standard serta perundangan berkaitan halal yang telah ditetapkan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan. 

Justeru, Jakim menasihatkan pengguna untuk membuat semakan melalui saluran yang disediakan pihaknya untuk mengelakkan sebarang kekeliruan terhadap produk atau premis makan halal.

“Untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki SPHM sila layari Portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my. 

“Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar SmartHalal,” katanya lagi.

Terdahulu, tular sebuah video di laman sosial mendakwa mi kari yang dijual di sebuah premis mengandungi daging babi.

Susulan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor memeriksa dan merampas bahan mentah berupa daging ayam di sebuah restoran terkenal di Subang Jaya semalam. 

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah dalam kenyataan berkata, pemeriksaan dijalankan lima anggota penguatkuasa itu mendapati restoran berkenaan mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang sah sehingga 30 November ini. – Malaysiapost