Rakyat mahu moratorium automatik, pengeluaran ‘one off’ RM10,000 diluluskan

Rakyat mahu moratorium automatik, pengeluaran ‘one off’ RM10,000 diluluskan

“KELUAR duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sendiri pun payah,” kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Katanya, itu sindiran tajam rakyat kepada kerajaan jika dua permintaan utama rakyat ditolak.

“Kenyataan CEO KWSP dan Gobenor BNM memberi petunjuk permintaan rakyat untuk moratorium automatik dan pengeluaran ‘one off’ RM10,000 KWSP akan ditolak.

“Kerajaan tolak kerana takut kesan politik. Kalau setuju, Najib disanjung kerana dia yang bawa isu itu dengan sokongan bersyarat,” katanya menerusi hantarannya di Facebook hari ini.

Beliau berkata, kali ini cerita ‘Hikayat Puteri Gunong Ledang’ amat relevan digunakan.

“Prof Hamka turut mengulas hikayat tersebut. Dia membaca pemikiran Sultan Mahmud Shah sebagai pemerintah.

“Sultan sanggup dengan semua syarat kecuali darah anaknya.

“Dia boleh kerah rakyat untuk mendapatkan hati kuman dan nyamuk termasuk jambatan emas dan perak. Tetapi bab darah anak sendiri dia tolak kerana jejas kepentingan diri,” katanya.

Beliau turut menyoal, apakah pemikiran Sultan Mahmud ada pada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Syarat ‘one off’ RM10,000 KWSP dan moratorium automatik akan menjejaskan imejnya. Sebab itu ditolak,” katanya lagi. – Malaysiapost