Serangan Tun M terhadap Anwar, cubaan gagalkan PH kembali berkuasa

Serangan Tun M terhadap Anwar, cubaan gagalkan PH kembali berkuasa

SERANGAN Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai cubaan untuk mengkhianati serta menggagalkan usaha Pakatan Harapan (PH) mendapatkan semula kerajaan.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata serangan yang didakwa tidak berasas itu sekali gus menggambarkan Dr Mahathir terdesak untuk dilihat relevan dalam arus politik perdana.

“Kita semua sedia maklum akan kegagalan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dalam mempertahankan Agenda Reformasi dan mandat yang diberikan oleh rakyat sepanjang 22 bulan PH memerintah negara.

“Tindakan Tun Dr Mahathir yang meletak jawatan tanpa sebarang perbincangan dengan pimpinan PH adalah punca kejatuhan kerajaan seterusnya memangkin rampasan kuasa secara khianat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan dukungan gerombolan pimpinan Bersatu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Dr Mahathir perlu menghentikan tindakan beliau yang dilihat sebagai langkah untuk memecahbelahkan PH serta menggagalkan usaha Anwar dan pimpinan PH menggembleng sokongan
mendapatkan kembali mandat rakyat yang dirampas.

“Dr Mahathir sewajarnya bermuhasabah dan insaf bahawa punca segala ketidakstabilan politik yang berlaku dalam negara mutakhir ini berpunca dari tindakan beliau sendiri.

“Beliau seharusnya menunjukkan sikap sebagai seorang negarawan dan membantu usaha Anwar dan PH untuk mengembalikan mandat rakyat dan bukan menggagalkannya,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Negara, Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff secara ‘sinis’
menyindir Dr Mahathir dengan mendakwa beliau ‘bersetuju’ dengan kenyataan bekas Perdana Menteri itu.

Menerusi ciapan di Twitternya, Yusmadi berkata, Anwar memang tidak berkemampuan menerajui Malaysia ke arah korupsi, kronism, klientelisme, rasism dan sebagainya.

“Datuk Seri Anwar tidak berkemampuan menerajui Malaysia ke arah korupsi, kronism, klientelisme, rasism dan sebagainya.

“Rakyat perlukan Anwar untuk membina Malaysia yang baharu dan adil untuk semua
Saya ‘setuju’ dengan Dr Mahathir,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir Mohamed hari ini secara terbuka menyifatkan Anwar tidak layak mentadbir negara, khususnya ketika berdepan krisis.

Kenyataannya itu, dilihat bertentangan dengan kesediaannya sebelum ini ketika bersama Pakatan Harapan (PH) untuk menyerahkan tampuk kerajaan kepada Presiden PKR itu.

Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight yang diterbitkan hari ini, Dr Mahathir berkata bekas timbalannya itu tidak mampu mengemudi negara jika berlakunya krisis kewangan, dengan memberi contoh krisis ekonomi pada 1997 sebagai contoh.

“Kita telah uji kebolehan beliau semasa saya jadi Perdana Menteri. Saya telah bercuti selama dua bulan (antara Mei dan Julai 1997) dan Anwar dilantik sebagai perdana menteri pada masa itu.

“Terpulanglah kepada kita untuk menilai sama ada dia mempunyai keupayaan untuk mentadbir negara dengan baik,” katanya -Malaysiapost