Shaheizy Sam mohon maaf, nafi mahu promosi vape

Shaheizy Sam mohon maaf, nafi mahu promosi vape

PELAKON Shaheizy Sam membuat permohonan maaf atas ketelanjurannya membawa rokok elektronik atau vape ketika bersiaran secara langsung di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33, semalam.

Menerusi video yang dimuatnaik di laman Instagram (IG)nya, Sam mengakui perbuatan itu berlaku disebabkan kelalaiannya sendiri.

“Hari ini saya sedar ramai yang bising di media sosial tentang apa yang jadi semalam. 

“Jadi, saya minta ampun maaf beribu-ribu ampun atas kecuaian saya dan kelalaian diri saya. Tak ada orang lain salah dah, memang diri saya salah,” katanya hari ini.

Pelakon ‘Polis Evo’ itu juga menolak dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan dirinya sengaja cuba mempromosikan produk rokok elektronik tersebut.

“Terus terang saya cakap dalam keadaan gementar malam tadi, di belakang pentas yang lengang tak ada orang, saya hanya fokus untuk buat yang terbaik dan sampai terlupa apa yang ada pada diri sehingga bawa ke atas pentas.

“Tak ada niat nak promosikan, semuanya atas cuai dan lalai saya, saya minta ampun,” jelasnya.

Menurut Sam lagi, sudah menjadi kebiasaannya pada dirinya untuk menggantung alat tersebut di lehernya.

“Apa yang tergantung, ini keperluan saya. Saya dah gantung banyak kat leher lebih setahun, ini kegunaan saya. Dua ke tiga jam habis (bateri) ada satu lagi.

“Saya minta maaf sekali lagi, kecuaian dan kelalaian diri saya mengundang yang tak elok pada orang lain. Insya-Allah perkara ini tak berulang lagi,” katanya.

Terdahulu, warganet mengecam pelakon tersebut selepas muncul dalam anugerah yang disiarkan secara langsung sambil menggantung vape di leher. -Malaysiapost