Ustaz Ebit Lew bantu 250 pemandu bas sekolah

Ustaz Ebit Lew bantu 250 pemandu bas sekolah

PENDAKWAH bebas, Ustaz Ebit Lew ‘turun padang’ lagi dan hari ini menghulurkan bantuan kepada 250 pemandu bas sekolah pula.

Menurutnya, beliau sedih melihat keadaan mereka dan mengambil keputusan membantu menyalurkan sumbangan barangan keperluan dan juga sedikit wang tunai bagi meringan beban mereka itu.

“Sayu dan sebak petang ini bila pemandu bas sekolah minta bantuan. Saya hadiahkan sedikit barang dapur untuk 250 orang ‘driver’. Saya pack dari Elewsmart tadi.

“Ada beberapa orang saya beri sedikit duit belanja. Sedih rasa, Tahun 2020 cuma enam bulan ada pendapatan. Enam bulan lagi langsung tiada pendapatan. Enam nak tampung setahun.

“Macam mana untuk kelangsungan hidup. Ramai yang jadi Grab Food, Food Panda dan jual kuih dan berniaga kecil-kecilan,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya .

Menurutnya, kegawatan ekonomi makin teruk, bukan mudah mahu dapatkan pekerjaan atau memulakan sesuatu perniagaan, syarikat besar pun banyak yang tutup.

“Hari ini nak mulakan perniagaan bukanlah senang. Ya Allah. Syarikat besar pun banyak tutup.

“Tengok mereka macam abang kakak. Ayah mak kita sendiri. Tengok ramai juga kakak-kakak ‘driver’ van dan bas sekolah. Kasihan mereka. Ya Allah. Ramai ucap terima kasih.

“Mereka minta doa dan semangat untuk teruskan hidup. Ya Allah. Terasa macam keluarga sendiri. Ramai juga nak bergambar tadi.

“Tanpa mereka. Susahnya mak ayah nak nak urus anak-anak ke sekolah. Kini semua mak ayah bekerja.

“Mereka memudahkan agar anak kita menjadi orang mulia dan berjaya.

“Kini waktu ujian mereka pula. Marilah kita doakan dan cuba bantu mereka walau sedikit. Semoga Allah terima usaha kecil kita,” katanya. – Malaysiapost